Sabtu, 19 Oktober 2019

Selangor baham Tok Gajah

MyMetroNode
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: Pahang gagal melakar kemenangan apabila tewas 1-3 kepada Selangor di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Ketinggalan 0-1 tidak menghalang Selangor untuk bangkit bagi memastikan tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah ternyata begitu bersemangat merobek gawang lawan yang turut dibarisi empat bekas pemain Pahang membabitkan Razman Roslan, Hafiz Kamal, R Gopinathan dan Khairul Azhan.

Peluang terbaik Pahang hadir menerusi sentuhan penyerang Argentina, German Pacheco tetapi sepakannya terkena tiang sebelum keluar pada minit ke-9.

Namun, tiga minit kemudian, pemain tengah, Faisal Abd Halim menggembirakan penyokong Tok Gajah selepas mengambil kesempatan daripada sepakan percuma Pacheco.

Pada minit ke-35, penyerang import Selangor Patrick Wleh Ronaldinho menyamakan kedudukan selepas aksi kelam kabut dalam kotak penalti yang menyaksikan pemain kelahiran Liberia itu menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Nourdin.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Ronaldinho sekali lagi memastikan pasukannya mendahului tuan rumah 2-1 sekali gus menewaskan Nasril buat kali kedua.

Sebaik bersambung babak kedua, Selangor yang dibimbing Zainal Abidin Hassan lebih banyak memberi tekanan kepada pertahanan Pahang yang dilihat bertahan.

Peluang terbaik The Red Giants untuk menambah gol hadir menerusi tendangan Gopinathan dari luar kotak penalti tetapi Nasril cemerlang menepis bola pada minit ke-52.

Pada minit ke-66, Gopinathan terlepas peluang menjaringkan gol itu apabila berjaya melakukannya, sekali gus memastikan Selangor di depan apabila menambah jaringan ketiga.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:45 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan