Sabtu, 25 Februari 2017

'Saya tetap sabar'

Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: “Saya hanya perlu bersabar hingga jurulatih memberi peluang beraksi kerana dalam keadaan sekarang, hanya itu yang boleh dilakukan.”

Demikian kata R Gopinathan (gambar) ketika mengulas situasi dihadapinya bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ketika ini.

Gopi yang menyinar musim lalu, seolah-olah tersisih daripada pasukan bimbingan Benjamin Mora dan selepas empat perlawanan Liga Super selain aksi Piala FA dan Piala AFC, kelibatnya masih tidak kelihatan di dalam pasukan.

Setakat ini, namanya hanya sekali berada dalam barisan pemain simpanan iaitu ketika menentang FELDA United.

Walaupun mengaku kecewa, Gopi berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa menentukan pemain terletak di tangan jurulatih.

“Siapa yang tidak mahu main? Semua nak main. Memang saya kecewa kerana belum diturunkan dan hanya sekali berada dalam senarai pemain simpanan.

“Tapi, saya tidak pernah berasa tersisih. Saya masih sebahagian daripada pasukan. Malah, saya tidak pernah berhenti berusaha kerana yakin suatu hari kelak, saya tetap akan diberi peluang.

“Apa yang perlu saya lakukan ialah terus bekerja keras, selebihnya saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan. Saya berharap akan memperoleh peluang itu secepat mungkin,” ujarnya.

Menurut Gopi, kecederaan lutut dialami sebelum bermula musim ini sedikit sebanyak menyumbangkan kepada situasi dihadapinya sekarang.

“Walaupun kecederaan itu tidak serius tapi sedikit sebanyak tetap menjejaskan prestasi. Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya serta berada pada tahap kecergasan yang tinggi.

“Cuma, saingan merebut tempat dalam pasukan Johor DT sangat sengit. Jadi, bila gagal mendapat tempat, pemain perlu bekerja keras untuk merebutnya.

“Saya sedar, jika memilih untuk bermain dengan pasukan lain, perebutan tempat lebih mudah. Tapi, saya tidak kesal memilih Johor DT kerana salah satu sebab menyertai pasukan ini adalah untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:15 AM