Khamis, 14 Disember 2017

Selangor terus garang

ARKIB : 11/01/2009
 
pemain Pahang, R. Gopinathan (kanan) dihalang pertahanan KL PLUS, Reeshafiq Alwi di Kuantan,Pahang, malam tadi. KL PLUS menang 1-0
- Gambar MAHATHIR ALI

SHAH ALAM - Selangor menjadikan Negeri Sembilan mangsa terbarunya untuk mengukir kemenangan ketiga berturut-turut, 3-0 sambil mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan bola sepak Liga Super musim 2009 di Stadium Shah Alam, semalam.

Langkah bergaya Merah Kuning itu dibuktikan dengan tolakan mudah Amirulhadi Zainal dan rembatan tepat R. Surendren masing-masing dalam tempoh tujuh minit mulai minit ke-20 di samping jaringan 'pelik tapi bertuah' Amri Yahyah pada minit ke-74.

Kegarangan Selangor terpancar seawal minit kelapan menerusi rembatan Amirulhadi yang beralih posisi ke sayap kiri tetapi ditampan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun manakala tolakan susulan Fareez Asmawi cuma tersasar beberapa inci.

Menerusi gerakan ciptaan Amri, Amirulhadi bagaimanapun menebus kegagalan awalnya dengan menolak mudah rembatan Safee Sali yang melantun daripada tampanan Farizal untuk gol pertama Gergasi Merah pada minit ke-20.

Kurang tujuh minit selepas itu, Gergasi Merah mengganas lagi sehingga melebarkan kedudukan 2-0 menerusi rembatan Surendren yang mendapat umpanan Safee Sali daripada gerakan yang dirintis oleh P. Gunalan di sebelah kiri.

Negeri Sembilan beroleh satu peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol empat minit sebelum rehat namun Firdaus Azizul merembat tinggi ketika hanya berdepan penjaga gol tuan rumah, Hamsani Ahmad yang baru diuji buat kali pertama.

Merah Kuning memulakan babak kedua dengan agak perlahan apabila bahagian tengah Rusa bijak mengekang mereka sehingga terpaksa menanti pada minit ke-58 menerusi hantaran lambung jauh yang digubah Amri.

Bagaimanapun Safee, penyerang utama negara yang sudah mengumpul dua gol musim ini ketika menentang Kedah dan Perak lalu, sekadar menolak bola ke tangan Farizal dalam gerakan satu sama satu, sejurus kemudian.

Tuan rumah turut terlepas kesempatan menambah gol pada minit ke-70 apabila sepakan penalti Amri yang diperoleh apabila Safee dijatuhkan dalam kotak penalti, tersasar jauh dari tiang kiri Negeri Sembilan.

Namun, gara-gara hadangan tidak sengaja Amri daripada sepakan seorang pemain pelawat yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Selangor tiba-tiba beroleh gol ketiga menerusi ketua pasukannya itu pada minit ke-74.

Dalam pada itu di Stadium Darul Aman, Alor Star, juara treble berganda, Kedah terus dihimpit tekanan apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Johor FC.

Sementara itu, Kelantan melupakan kemelut yang melanda pasukan tersebut apabila mencatat kemenangan kedua mereka dengan menundukkan Kuala Muda Naza 2-1 di Stadium Sultan Muhammed IV.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu mencatat kemenangan 2-0 ke atas UPBMyTeam dan gol tersebut disumbangkan oleh Azlan Ismail minit-31 dan Zairo Anuar Zalani minit ke-69.

Sementara itu, KL PLUS terus memberi ancaman kepada pendahulu Liga Super, Selangor apabila mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur.

Pada satu lagi perlawanan, tuan rumah Pulau Pinang turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium Bandaraya menerusi jaringan V. Jaganathan minit ke-22.

Razali Umar Kandasamy menjadi wira Perak apabila jaringan tunggal olehnya minit ke-60 membantu pasukan tuan rumah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Perak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51IkVl5tg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Februari 2017

'Saya tetap sabar'

Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: “Saya hanya perlu bersabar hingga jurulatih memberi peluang beraksi kerana dalam keadaan sekarang, hanya itu yang boleh dilakukan.”

Demikian kata R Gopinathan (gambar) ketika mengulas situasi dihadapinya bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ketika ini.

Gopi yang menyinar musim lalu, seolah-olah tersisih daripada pasukan bimbingan Benjamin Mora dan selepas empat perlawanan Liga Super selain aksi Piala FA dan Piala AFC, kelibatnya masih tidak kelihatan di dalam pasukan.

Setakat ini, namanya hanya sekali berada dalam barisan pemain simpanan iaitu ketika menentang FELDA United.

Walaupun mengaku kecewa, Gopi berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa menentukan pemain terletak di tangan jurulatih.

“Siapa yang tidak mahu main? Semua nak main. Memang saya kecewa kerana belum diturunkan dan hanya sekali berada dalam senarai pemain simpanan.

“Tapi, saya tidak pernah berasa tersisih. Saya masih sebahagian daripada pasukan. Malah, saya tidak pernah berhenti berusaha kerana yakin suatu hari kelak, saya tetap akan diberi peluang.

“Apa yang perlu saya lakukan ialah terus bekerja keras, selebihnya saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan. Saya berharap akan memperoleh peluang itu secepat mungkin,” ujarnya.

Menurut Gopi, kecederaan lutut dialami sebelum bermula musim ini sedikit sebanyak menyumbangkan kepada situasi dihadapinya sekarang.

“Walaupun kecederaan itu tidak serius tapi sedikit sebanyak tetap menjejaskan prestasi. Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya serta berada pada tahap kecergasan yang tinggi.

“Cuma, saingan merebut tempat dalam pasukan Johor DT sangat sengit. Jadi, bila gagal mendapat tempat, pemain perlu bekerja keras untuk merebutnya.

“Saya sedar, jika memilih untuk bermain dengan pasukan lain, perebutan tempat lebih mudah. Tapi, saya tidak kesal memilih Johor DT kerana salah satu sebab menyertai pasukan ini adalah untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:15 AM