Oleh Asrol Awang
Kuantan: Pemain paling senior Pahang, Jalaluddin Jaafar
percaya kelibatnya akan dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia
berbanding hanya diletakkan sebagai pemain simpanan pada aksi Liga Super dan
Piala FA musim ini.
Justeru, pemain kelahiran Pekan, Pahang itu akan berusaha
menambat hati pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan bagi memastikan namanya
tersenarai dalam kesebelasan utama.
Bagi merealisasikan impian itu, Jalaluddin berkata, dia tidak akan
mengecewakan Zainal Abidin terutama dalam membantu memperkasakan jentera
pertahanan.
“Memang diakui musim ini saya lebih banyak diturunkan
sebagai gantian, tapi saya tetap berharap dapat berada dalam kesebelasan utama
pada saingan Piala Malaysia,” katanya.Ditanya peluang Pahang mempertahankan
piala berprestij itu musim ini, Jalaluddin berkata, dengan menerapkan disiplin
tinggi dan fokus terhadap setiap perlawanan, gelaran juara boleh menjadi milik
skuad Tok gajah.
“Pada masa sama, sokongan padu peminat yang selama ini
tidak putus-putus memberikan suntikan moral akan membantu memotivasikan kami.
“Jika segala-galanya mengikut percaturan, kami mampu
mengulanginya sekali lagi musim ini,” katanya.
Musim ini, Pahang sudah merangkul dua gelaran, juara
Piala FA dan Piala Sumbangsih manakala skuad kendalian Zainal Abidin menduduki
tempat ketiga saingan Liga Super.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan