Ahad, 20 Oktober 2019

Aksi Gopinathan pikat Dollah


MyMetroNode
 
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kelana Jaya: Bakal dipanggil semula jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh mungkin membangkitkan semangat pemain sayap Pahang, R Gopinathan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Sabtu ini.

Menurut Dollah, beliau kini berada dalam dilema selepas melihat pemain berusia 24 itu menunjukkan bisanya terutama pada perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala Malaysia menentang Kedah hujung minggu lalu.

“Saya tengok Gopinathan menjadi pula permainannya, sekarang saya tidak tahu nak buat macam mana,” katanya selepas menyenaraikan 25 pemain bagi mengharungi perlawanan persahabatan menjelang saingan Piala Suzuki AFF bulan depan.

Jelasnya, beliau kini masih berbincang dengan penolong jurulatihnya mengenai penyenaraian kembali Gopinathan dalam skuad kebangsaan.

“Saya tengok dia kembali menyerlah, rasa ralat jika tidak menyerapnya dalam skuad kebangsaan, mungkin berlaku penambahan 26 pemain dalam pasukan sekarang.

“Melihat kepada prestasinya kini, ia satu kerugian besar jika tidak menyenaraikan, saya rasa tidak ada masalah menyenaraikan lebih seorang pemain,” katanya yang akan memendekkan senarai 22 pemain menjelang saingan Piala Suzuki AFF 2014 bertemu Myanmar, Thailand dan Singapura dalam Kumpulan B.

Dollah pernah menyenaraikan Gopinathan dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia 14 September lalu.

Ditanya mengenai ramalannya menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini, Dollah berkata, kedua-duanya mempunyai peluang sama rata untuk menjulang trofi.

“Pahang lebih tersusun dan mempunyai pengalaman dua tahun berturut-turut, mereka juga nampak kuat sebagai satu pasukan berbanding Johor DT.

“Johor DT pula dari segi kekuatan secara sepasukan kurang menyerlah berbanding Pahang tetapi mereka mempunyai kelebihan individu,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:09 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan