Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my
Penyerang import Pahang, Matius Ruben Conti (dua dari kanan) berlatih
bersama rakan sepasukan di Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/Mahathir Ali
JERANTUT - Tiga tonggak utama Tok Gajah yang mengutip
satu kad kuning mengambil sikap waspada menentang Sarawak di Kuching, esok.
Mereka ialah ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar, Damion
Stewart serta Mohd. Amirul Hadi Zainal yang masing-masing telah mengutip satu
kad kuning.
Jalaluddin berkata, dia, Stewart dan Amirul Hadi perlu
mengelak daripada melakukan tindakan yang membolehkan mereka dihadiahkan kad
kuning kedua dalam perlawanan itu nanti.
"Kami perlu berhati-hati dalam setiap gerakan agar
tidak mengasari pemain Sarawak sehingga menerima kad kuning kedua yang akan
membuatkan kami berputih mata jika Pahang layak ke perlawanan akhir.
"Kami akan kehilangan Mohd. Hafiz Kamal di bahagian
tengah kerana beliau digantung satu perlawanan di Kuching nanti selepas
mengutip dua kad kuning sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di
sini, semalam.
Menurut Jalaluddin, Amirul Hadi yang semakin pulih pasti
akan diturunkan memperkuatkan posisi tengah menggantikan Mohd. Hafiz.
Katanya, semua pemain kini bersiap sedia untuk mengekang Sarawak
yang akan beraksi di laman sendiri.
"Aksi di Kuching dijangka lebih sengit kerana
Sarawak ketinggalan dua gol, malah anak buah Robert Alberts pasti bangkit untuk
memburu slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini," ujarnya.
Jalaluddin memberitahu, semua pemain tidak boleh leka
dengan kelebihan kemenangan 3-1 kerana gerakan pantas penyerang Bujang Senang,
Bobby Gonzales dan Muamer Salibasic sentiasa mengintai peluang untuk
menjaringkan gol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan