MyMetroNode
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
Kuantan: Juara bertahan, Pahang
mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia 2014 apabila menewaskan Kedah dengan
agregat 6-3 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, malam
tadi.
Skuad kendalian Zainal Abidin
Hassan itu kenduri gol ke atas Kedah dengan kemenangan 5-0 selepas kekalahan
mengejutkan 1-3 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, Ahad lalu.
Wira Tok Gajah semestinya Matias
Conti dan R Gopinathan. Conti mencatat hatrik manakala Gopinathan menjaringkan
dua gol.
Bermain di depan lebih 37,000
penyokong, Pahang memulakan permainan dengan aksi meyakinkan apabila melakukan
serangan bertali arus ke gawang lawan.
Usaha tuan rumah membuahkan hasil
seawal minit keempat hasil tandukan kemas Matias Conti yang menyempurnakan
sepakan penjuru Azidan Sarudin.
Pahang menjarakkan kedudukan pada
minit ke-25 menerusi jaringan R Gopinathan yang menolak masuk hantaran lintang
pemain sayap, Azammuddin Mohd Akil.
Skuad Helang Merah cuba bangkit,
tetapi sekali lagi dikecewakan apabila gawang mereka dibolosi menerusi jaringan
Conti yang menolak masuk hantaran Azamuddin, empat minit kemudian.
Conti melengkapkan hatrik pada
minit ke-36 hasil rembatan kencang Dickson Nwakaeme yang bijak menggunakan
keupayaan fizikalnya untuk mengawal bola dalam kotak penalti melepasi
pertahanan Kedah melepasi penjaga gol Kedah, Saiful Amar Sudar.
Tonggak pasukan Kedah, Baddrol
Bakhtiar cuba melakukan beberapa rembatan jarak jauh untuk mencipta jaringan
tetapi usahanya gagal menguji kemampuan sebenar penjaga gol Pahang Md Khairul
Azhan Md Khalid.
Bersambung babak kedua, skuad
bimbingan bekas penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe cuba melakukan
beberapa percubaan bagi merapatkan kedudukan menerusi Mohd Khyril Muhymeen
Zambri, tetapi berjaya diselamatkan Khairul.
Benteng Kedah selaku juara trebel
musim 2007/08 dibolosi buat kali kelima menerusi jaringan kedua Gopinathan pada
minit ke-73.
Kedah terus buntu untuk
menghasilkan jaringan dan kedudukan 5-0 kekal sehingga wisel penamat
dibunyikan.
Pahang akan bertemu sama ada
Johor Darul Ta'zim (Johor DT) atau FELDA United FC pada perlawanan akhir di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 1 November ini.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:06 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan