Isnin, 10 Februari 2020

Melaka United seru semangat Hang Tuah

MyMetroArena
 
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MUSIM lalu, skuad Melaka United (MU) dilihat sedikit bergelut di penghujung musim sehingga terpaksa menanti keputusan di dua aksi penentuan terakhir untuk sah kekal di saingan Liga Super 2018.

Bagi memastikan skuad ini kekal bersaing, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengambil langkah bijak apabila mengikat beberapa pemain tempatan berstatus bintang untuk bersaing pada musim ini.

Mereka berjaya menghimpunkan antara kelompok pemain terbaik termasuk R Gopinathan, Fakri Sharaani, S Chanturu, Farderin Kadir, Azmi Muslim,Nurshamil Abd Ghani dan Zamir Selamat, seolah -olah MU berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat mereka.

Namun, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan walaupun dibarisi ramai bintang baharu, mereka sebenarnya bersikap ‘mengukur baju di badan sendiri’ bagi menepati kemampuan kewangan persatuan.


BARISAN pemain Melaka United pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -Foto GHAZALI KORI
Langkah bijak dan berjimat itu bertujuan mengelak risiko daripada menanggung beban atau masalah kewangan sepanjang menghadapi saingan musim 2018.

Tegasnya, MU cuma berbelanja sekitar RM15 juta bagi saingan kali ini, sekaligus menafikan dakwaan skuad terbabit berbelanja besar mendapatkan pemain bintang.

“Kami mendapatkan empat pemain import dan hanya mengekalkan Jeon Woo Young, namun ia bukan gambaran kami berbelanja lebih besar, sebaliknya kami hanya menyenaraikan 25 pemain bukan 30 pemain.

“Perbelanjaan masih di tahap terkawal kerana peruntukkan untuk lima kekosongan pemain itu digunakan untuk mengikat pemain berkualiti,” katanya.

Berdasarkan senarai pemain yang diumumkan awal berbanding pasukan lain serta prestasi cemerlang sepanjang kempen pramusim, skuad bimbingan Eduardo Almeida ini mula memasang untuk berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super.


PEMAIN Melaka United, Nicholas Swirad (tengah) menanduk bola di hadapan pintu gol sambil diasak pemain TFC II, Dhiyalrahman Mohd Nasry (tiga kanan) dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -Foto GHAZALI KORI
Keyakinan itu turut diluahkan kapten pasukan, R Surendran yang mahu mencipta sejarah melangkah ke final Piala FA atau meraih satu daripada trofi yang ditawarkan di pentas Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Katanya, gabungan pemain lama yang dikekalkan selain kehadiran bintang tempatan serta empat import baharu mampu memberi jawapan terhadap kelemahan skuad terbabit musim lalu.

Kekuatan pasukan itu bakal diterjemahkan secara efektif selepas menempuh persiapan rapi pada saingan pramusim di Vietnam dan kejohanan empat penjuru di Terengganu.


R SURENDRAN
“Saingan musim ini pasti sengit terutama Johor Darul Tazim (JDT), Kedah, Selangor Terengganu dan Pahang. Pasukan lain juga memiliki barisan baharu yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing -masing.

“Jika kami kekal dengan tahap disiplin tinggi serta mempamerkan semangat berpasukan yang baik, tidak mustahil MU akan muncul sebagai pasukan disegani musim ini,”

Kapten pasukan, R Surendran


EDUARDO ALMEIDA
“Aksi pada awal liga amat penting untuk menempatkan pasukan di kelompok teratas kerana jika tercicir mata, sudah pasti motivasi pemain akan bakal terjejas.

“Setiap kelemahan pada aksi pramusim perlu segera diperbaiki dan pemain perlu bijak menjayakan strategi yang diatur,”

Jurulatih MU , Eduardo Almeida

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 10:00 AM