Selasa, 31 Disember 2019

Gopi kembali sarung jersi Tok Gajah


Simpan Artikel
MyMetroArena
 
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
SELEPAS berkelana selama empat musim, bekas pemain kebangsaan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra kembali menyarung jersi Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Pengalaman luas dimiliki pemain kelahiran Kuantan itu mampu membantu memperkasakan jentera tengah skuad Tok Gajah selepas ketiadaan beberapa pemain di posisi berkenaan. Menurut sumber, Muhammad Gopi Rizqi atau Gopi menandatangani kontrak semusim bersama skuad Pantai Timur itu.

"Pengalaman luas Gopi Rizqi bersama Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah cukup mematangkannya.

"Kelebihan dimiliki terutama boleh bermain di posisi sayap kanan dan kiri mampu menguatkan lagi bahagian tengah pasukan.

"Justeru, Pahang pastinya menagih pengalaman dan kematangan Gopi Rizqi bagi musim 2020 selepas dia berhijrah pada 2016 hingga 2019," kata sumber itu.

Berdasarkan rekod, pemain berumur 30 tahun itu membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2013 dan 2014.

Pada musim 2014, dia turut membantu skuad Tok Gajah mengucup Piala FA dan Piala Sumbangsih dan meninggalkan Pahang pada 2016 untuk menyertai Selangor sebelum ke JDT (2017), Melaka United (2018) dan PDRM (2019).

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 2:13 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan