MyMetroArena
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
LANGSUNG tidak
istilah kesal di hati R Gopinathan kerana menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT),
walaupun jodohnya bersama kelab itu hanya bertahan semusim saja.
Malah, bekas
pemain Pahang dan Selangor itu menganggap ia tetap pengalaman berharga sekali
pun kelibatnya lebih kerap menghuni bangku pemain simpanan sepanjang bersama
juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017 itu.
“Bohonglah
jika saya kata tidak kecewa terpaksa meninggalkan JDT selepas hanya semusim
bersama pasukan itu. Apatah lagi sepanjang di sana saya lebih banyak duduk di
bangku simpanan.
“Kalau boleh
saya mahu terus menimba pengalaman bersama kelab itu serta cuba merebut tempat
dalam kesebelasan utama.
“Namun, saya
perlu menerima hakikat, persaingan dalam pasukan itu begitu hebat. Mungkin saya
belum cukup bagus untuk bersaing dengan pemain lain.
“Memang saya
kecewa tidak dapat bermain dengan lebih kerap, tetapi tidak sekali-kali
menyesal menyertai JDT kerana banyak perkara positif saya dapat sejak menyertai
kelab itu.
“Antaranya
saya dapat berlatih dengan kemudahan yang serba lengkap serta mengutip
pengalaman bersaing dengan pemain hebat,” kata Gopi.
Gopi adalah
antara tiga pemain yang digugurkan oleh JDT setakat ini bagi menghadapi musim
depan.Nasib sama turut menimpa Azamuddin Akil dan S Chanturu.
Pada musim
2016, Gopi bersama Selangor dan selepas semusim bersama The Red Giants, dia
menyambut tawaran untuk menyarung jersi skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun,
pemain sayap itu gagal menyerlah dan hanya tampil beraksi penuh 90 minit ketika
perlawanan Piala AFC menentang kelab Myanmar, Magwe FC yang menyaksikan Gopi
menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 1-1.
Secara
keseluruhan, Gopi hanya beraksi dalam lima perlawanan, tiga dalam saingan Piala
AFC serta dua dalam Liga Super dengan jumlah tempoh keseluruhan berada di dalam
padang adalah 286 minit.
Mengenai hala
tujunya musim depan, Gopi menyatakan masih belum ada kepastian, sekali pun
mengakui telah mengadakan rundingan dengan Melaka United.
“Saya ingin
menyertai pasukan yang dapat memberi peluang bermain sekerap mungkin untuk
mengembalikan prestasi,” kata Gopi.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 12:57 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan